Tuduhan tersebut tersebar di media sosial sejak kelmarin dan pihak yang menuduh mendakwa Juwairiya ada bersama Amirudin di hotel, di Sandakan, yang dikaitkan dengan isu Datuk Seri Mohamed Azmin tetapi tidak pula ditampilkan sebarang bukti.

Dalam kenyataan akhbarnya, Juwairiya berkata, selain laporan polis, pihaknya juga turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan telah mempersiapkan barisan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya mengambil maklum bahawa terdapat fitnah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui akaun Facebook ‘Aku Darah Anak Malaysia - ADAM’ yang dimuat naik pada 9 Julai, yang cuba mengaitkan saya dengan Menteri Besar Selangor.

“Saya juga telah berbincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang. Pihak kami akan memantau kes ini dengan sepenuhnya untuk menentukan langkah seterusnya. Apa yang pasti ia fitnah dan saya tegaskan, saya tiada dilokasi itu pada tarikh didakwa,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Amirudin juga tegas menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah serta turut mempersiapkan barisan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang. - UTUSAN ONLINE