Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin tidak menolak kemungkinan itu berikutan pelbagai fitnah yang dilontarkan terhadap Pas sebelum ini.

“(Mengenai RM3.5 juta) saya tidak tahu tetapi ia satu perkara yang biasanya dilontar begitu saja. Fitnah RM90 juta dan RM1.4 juta pun senyap jadi, mereka akan cari sementara pilihan raya yang berlaku di Rantau.

“Nanti bila ada pilihan raya lain, ada lah lagi (fitnah),” katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Tokoh Pendidik Islam 6.0 di Stadium Negeri di sini hari ini.

HASHIM JASIN
HASHIM JASIN 

Beliau mengulas laporan terbaharu yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemberian RM3.5 juta kepada Pas Terengganu, iaitu sebahagian daripada jumlah RM90 juta yang didakwa diterima Pas.

Pada Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull mengesahkan tiada kemasukan RM90 juta yang dikatakan daripada 1Malaysian Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun rasmi Pas.

Dalam perkembangan lain, Hashim menarik perhatian, penyatuan ummah antara Pas dengan UMNO secara tidak langsung memberi kesan positif kepada politik dan perkembangan Islam di negara ini.

“Saya terkejut ada pemimpin yang cakap (penyatuan ini berbentuk perkauman). Itu hanya kata-kata dia tetapi yang sebenarnya untuk Islam dan Melayu adalah sesuatu yang amat baik.

“Ia sudah terbukti dalam masyarakat, kalangan pimpinan duduk satu pentas dan bersyarah bersama dalam Parlimen. Pas bercakap, UMNO sokong dan begitulah sebaliknya kerana apa yang Pas cakap bertepatan dengan kehendak UMNO dan begitu juga kata-kata UMNO bertepatan dengan kehendak Pas jadi, dengan pertalian itu, hubungan untuk kepentingan bersama boleh kita wujudkan,” katanya. UTUSAN ONLINE