Calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inilah saat terbaik bagi UMNO untuk melakukan muhasabah.

“Kalau kita merasakan bahawa kelekaan dan kealpaan kita ketika berada di tampuk kuasa dulu, kita mengatakan bahawa ‘money is everything’ dan ‘cash is king’, kita bergelombang dalam banyak aspek yang negatif sehingga dibenci oleh rakyat maka pada waktu ini sebenarnya adalah masa terbaik untuk melakukan perubahan,” katanya dalam sesi dialog Calon Ketua Pemuda UMNO 2018 yang disiarkan di Astro Awani, malam tadi.

Yang turut hadir, tiga lagi calon Ketua Pemuda UMNO iaitu Senator Khairul Azwan Harun, Mohd. Shahar Abdullah dan Wan Md. Hazlin Agyl Wan Hassan.

Dalam pada itu, Khairul berpandangan, budaya ‘warlord’ dan ‘endorsement’ dalam parti harus dihapuskan dengan segera.

Kata beliau, ini kerana budaya tersebut sebenarnya merosakkan semangat ahli-ahli UMNO untuk menyumbang kepada kemajuan parti itu sendiri.

“Setiap perkara yang hendak dilakukan mesti dapatkan ‘endorsement’ daripada pemimpin, mengapa? Sikit-sikit nak tunggu ‘endorsement’ daripada pemimpin, walhal ahli mempunyai hak dan pilihan yang mereka boleh beri.

“Perkara yang mahu dilakukan juga hendak dapatkan ‘endorsement’. Saya mahu nyatakan sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Pemuda selepas ini, kita perlu berani bawa pembaharuan tersebut.

“Kalau terpaksa tegur pemimpin kita sendiri, kita buat juga kerana niat kita adalah untuk mencipta kebaikan daripada teguran itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shahar pula berpendapat Pemuda UMNO perlu mengubah mentaliti daripada menjadi pihak kerajaan kepada pembangkang.

“Sudah hampir 61 tahun, kita mempunyai mentaliti di pihak kerajaan, kita kena turun ke akar umbi seawal mungkin untuk kita pastikan setiap ahli-ahli pemuda di akar umbi memahami bahawa hari ini mentaliti mereka adalah sebagai ahli pembangkang yang harus bertanggungjawab terhadap segala isu yang telah dimainkan oleh pihak kerajaan.

“Kalau masih berada dalam kaedah yang lama, kita masih terbuai-buai dengan pemikiran dan mentaliti sebagai pihak kerajaan, kita tidak akan boleh menjadi pihak pembangkang yang baik,” katanya.

Sementara itu, Wan Md. Hazlin berkata, UMNO perlu kembali balik kepada asas perjuangan UMNO itu sendiri.

“Kita juga perlu kembali kepada model Barisan Nasional (BN) itu sendiri. Mengapa BN itu ditubuhkan daripada perikatan kepada BN dan kita kembali balik kepada model itu.

“UMNO ditubuhkan berdasarkan kepada keperluan bangsa Melayu memperjuangkan dan mempertahankan hak tetapi kita tidak pernah meninggalkan bangsa-bangsa lain, sebab itu wujudnya perikatan BN,” katanya. – UTUSAN ONLINE