Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka dididik untuk taat dan setia sepenuhnya kepada kepemimpinan tertinggi parti.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memberitahu, perkara sama juga telah dilakukan di bawah kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sudah tentu pelbagai tafsiran boleh dilakukan namun keutamaan hendaklah diberikan kepada menyatupadukan kepemimpinan parti dan juga memberi kebolehpercayaan akar umbi kepada kepemimpinan.

“Jika kebolehpercayaan itu dirungkaikan maka tentu ada har­ga yang patut dibayar dan kita terima keputusan yang dibuat dengan hati yang terbuka serta berlapang dada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Pasar Raya Besar LuLu di CapSquare, Jalan Munshi Abdullah di sini hari ini.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam secara sebulat suara memecat bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada parti.

Muhyiddin dan Mukhriz di­kenakan tindakan tersebut ke­rana melanggar disiplin parti apabila bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyerang parti serta kepemimpinannya.

Ahmad Zahid turut mengakui segelintir ahli UMNO mungkin sukar untuk menerima kewajaran keputusan MT parti tersebut sepenuhnya.

“Keputusan itu telah dimuktamadkan dan badan tertinggi UMNO selain daripada Perhimpunan Agung adalah MT maka keputusan itu harus diterima,” jelasnya.

Beliau memberitahu, ketua-ketua UMNO bahagian juga didapati tidak menghadapi sebarang masalah untuk menerima keputusan tersebut.

Ahmad Zahid menambah, perpaduan dalam UMNO perlu diperkukuhkan semula kerana parti telah melalui pelbagai era dan dugaan.

“Kaedah penyelesaian perlu dicari supaya UMNO terus relevan bukan sahaja kepada ahli-ahlinya malah kepada rakyat yang mengharapkan UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) dapat memacu dan memperkasakan perjuangan orang Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan ber­ka­itan, beliau berpandangan, pe­milihan UMNO tidak akan diadakan dalam masa terdekat berikutan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz itu.

Berhubung rombakan Kabinet, Ahmad Zahid berkata, perkara itu adalah di bawah budi bicara Najib sebagai Perdana Menteri bagi melakukan perubahan serta mengisi kekosongan melibatkan beberapa portfolio.