Beliau bagaimanapun enggan mengulas kerusi Parlimen yang akan terlibat.

“Saya kira belum lagi di­umumkan tetapi sudah dipastikan mana. Insya-Allah ada wakil rakyat kita yang telah menawarkan untuk mengosongkan tempatnya untuk membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Yayasan Kebajikan Negara (YKN)-Tabung Rakyat Palestin.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli malam semalam mendedahkan parti itu akan mengosongkan satu kerusi Parlimen minggu hadapan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Ditanya mengenai kenya­taan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan Kabinet ketika ini, Wan Azizah berkata, perkara itu adalah peringatan buat mereka untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, barisan Kabinet tersebut terdiri daripada mereka yang baharu serta berpengalaman sedikit dan untuk mengubah kerajaan berusia 61 tahun, adalah tidak mudah.

“Kadangkala, kita akan menghadapi beberapa perkara yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan kita perlu memperbe­tulkan perkara itu serta bergerak ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, dalam isu pelaksanaan hukuman sebat oleh mahkamah syariah, beliau berkata, perkara tersebut bukanlah hukuman hudud tetapi takzir yang dijatuhkan atas budi bica­ra hakim dan untuk meminda perkara itu, prosedur-prosedur­nya perlu dilihat terlebih dahulu.

Wan Azizah ketika berucap sebelum itu memberitahu, kerajaan kini menghadapi kekangan kewangan yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia menyumbang terhadap usaha YKN untuk membantu warga Palestin yang dibelenggu penindasan oleh rejim Zionis menerusi Tabung Rakyat Palestin.