Menurut beliau, tidak berbaloi memecah-belahkan perpaduan di kalangan rakyat semata-mata terlampau ghairah untuk memenangi pilihan raya.


"Untuk tujuan menang PRK ini jangan jadi ekstrem sebegitu rupa, janganlah main isu perkauman," katanya kepada pemberita ketika menziarahi Kuil Sri Subramanier bersempena perayaan Thaipusam di Ringlet dekat sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan ketika ceramahnya di Sungai Koyan, semalam yang antara lain dilapor mendakwa Malaysia di bawah pentadbiran PH menyaksikan orang Melayu dan Islam telah diperlekehkan.


Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dilapor menyifatkan DAP sebagai "musuh" yang "tiada perasaan belas ihsan terhadap orang Melayu dan agama Islam".

Mengulas lanjut, Manogaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang, berkata Mohamad sebagai seorang pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) sepatutnya menjadi contoh kepada semua masyarakat.


Katanya apa yang dibangkitkan beliau adalah contoh yang sangat tidak elok kepada generasi muda, bagi sebuah negara berbilang bangsa.


"Saya menggesa para pemimpin kanan BN supaya bersikap sederhana kerana anda juga ada parti kaum India dan Cina sebagai parti komponen. Saya dengan rendah diri memohon supaya segera berhenti daripada memainkan isu perkauman," katanya. - BERNAMA