Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan berkata,permohonan atas tapak seluas 0.441 hektar itu adalah daripada Persatuan Pengurusan Kematian Orang-Orang Hindu Negeri Johor (PPKOHNJ) untuk kegunaan dan pengurusan upacara terakhir tersebut.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor telah menolak akuan semula permohonan merizabkan tanah tersebut, namun bersetuju untuk memberi kelonggaran bagi mencari tapak lain yang bersesuaian.

“Pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu, tanah ini telah dikenal pasti, diperuntuk dan sudah pun diberikan kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk membina infrastruktur serba moden dan lengkap bagi kegunaan pengurusan khairat kaum India di tapak itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, tapak itu amat penting kerana di kawasan sekitar daerah ini dengan kepadatan penduduk yang semakin bertambah sekian tahun, masyarakat India tidak mempunyai tempat yang sesuai bagi melakukan pengurusan upacara terakhir kematian dengan cara yang terhormat dan sistematik.

Namun begitu ujarnya, setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri , permohonan pihak PPKOHNJ itu telah ditolak.

Setelah lebih 20 tahun masyarakat India berusaha untuk mendapatkan tapak berkenaan katanya, penolakan itu seakan dipolitikkan kerajaan negeri di bawah PH selepas keputusan berkenaan diambil oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.

“Di sini saya mahu kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai keputusan yang diambil. Pertama, apakah justifikasi akuan semula permohonan merizabkan tanah ini ditolak sedangkan peruntukan pembangunan insfrastruktur telah diberikan kepada MPPG?

“Kaum India di negeri Johor memerlukan penjelasan yang telus daripada pihak berwajib. Ini seakan menidakkan hak kaum India untuk beragama dan menguruskan hal ehwal masyarakat kami di negeri kami sendiri,” tegasnya.

Kedua katanya, berapa lama lagi masa yang diperlukan untuk mencari tapak yang lebih ‘sesuai’ di kawasan lain?

“Adakah tapak yang di mohon sekarang ini tidak sesuai dan jika ianya benar apakah sebabnya,” soalnya.

Vidyanathan berkata, Ironinya beberapa tahun dahulu, ada ahli-ahli politik DAP menyerahkan memorandum kepada kerajaan BN pada waktu itu untuk menggesa pihak berwajib menyelesaikan masalah tersebut.

Namun pada hari ini katanya, apabila mereka sudah berkuasa, tapak berkenaan sudah ditolak kelulusannya pula.

“Ketiga, suka juga saya untuk bertanya, di manakah ahli-ahli politik PH yang berbangsa India dalam usaha menyelesaikan isu ini? Adakah mereka tidak berjuang dan mempertahankan kepentingan masyarakat India kepada pembuat-pembuat dasar yang lain?

“Pada hemat saya mereka seakan memandang remeh terhadap perkara ini sedangkan ianya adalah amat asasi kepada kelangsungan cara hidup kami di negeri Johor,” katanya.

Tindakan sebegitu kata beliau, merupakan penghinaan kepada nilai pelbagai agama dan kebudayaan yang menjadi tonggak kestabilan sosial di Johor.

Kaum India memohon penjelasan berhubung perkara tersebut kerana mereka seakan dianaktirikan kerana tiadanya penjelasan yang diberikan bagi keputusan yang telah diambil, katanya. - UTUSAN ONLINE