Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat harus menolak pemimpin yang mendakwa mengetuai Pakatan Harapan yang diketuai DAP tersebut.

Beliau berkata, era bekas Perdana Menteri itu telah berlalu dan sepatutnya mendekatkan diri dengan Allah SWT bagi menghabiskan sisa-sisa hidup.

“Rakyat telah memberikan peluang selama 22 tahun untuk top dog itu memimpin tetapi kali ini apabila gila talak telah berlaku, maka tibalah masanya rakyat menolak pakatan impian siang hari yang berketuakan seorang yang gila talak.

“Setiap pemimpin ada era dan zamannya, zamannya telah lepas, duduk elok-elok zikir dan bertahajud banyak-banyak.

“Kalau ikut hukum akal dah dekat dah, bila dah dekat, dekat dengan Allah jangan campur hal politik lagi serah kepada kami, kita tahu bagaimana mahu mengurus hal politik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama Orghe Parlime Terre (OPT) di Ketereh di sini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Pakatan Harapan yang diketuai DAP tidak akan bertahan lama kerana ia dikepalai oleh tiga nakhoda.

“Bagaimana sebuah parti­ gabungan yang ada hanya satu kerusi di Parlimen, pengerusinya mahu menjadi top dog, mahu memimpin pakatan, tidak munasabah.

“Apabila ada tiga nakhoda dalam satu kapal, kita tidak perlu berdoa lagi, kita hanya perlu tunggu dan lihat sesungguhnya dalam waktu terdekat kapal itu akan tenggelam kerana haluannya berbeza,” katanya.

Tambahnya, pemimpin yang ada pada hari ini tidak pernah menyalahkan pentadbiran negara dahulu biarpun terpaksa memperbaiki banyak masalah yang ditinggalkan.

“Di Amerika Syarikat, Eropah dan banyak negara lain, menyalahkan dasar-dasar pemimpin dahulu. Namun di Malaysia tidak berlaku kerana pemimpin yang ada sekarang cuba memperbaiki kelemahan dan kesilapan pemimpin terdahulu,” ujarnya.