Sebaliknya beliau meminta peluang diberi kepada mereka yang setia dan menghayati nilai perjuangan dan agenda reformasi parti tersebut.

“Itu nasihat saya pada musim pemilihan parti kali ini. Kita kena jaga parti kerana PKR mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen.

“Calon-calon yang bertanding pula jangan ugut, beli undi dan sombong,” katanya ketika berucap dalam Majlis Agenda Malaysia Baharu yang dihadiri kira-kira 3,000 penduduk di padang Felda Jelai 4, Gemas di sini malam ini.

Yang turut hadir Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau akan memastikan kerajaan Pakatan Harapan memulihkan kerosakan dan mengembalikan semula hak Felda yang diseleweng sebelum ini.

Beliau berkata, ini kerana Felda telah mengalami kerugian besar akibat pelaburan cuai oleh pentadbiran terdahulu.

“Saya sudah maklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya pantau Felda dan dalam beberapa bulan atau tahun kita boleh kembalikan semula hak Felda. Kerosakan Felda banyak.

“Yang pertama, rompakan terhadap Felda mesti dihentikan dan kemudian baiki sistemnya. Yang penting juga pendidikan untuk anak-anak Felda dan kemudahan kesihatan terbaik disediakan.

“Sebab itu malam ini saya lihat ramai warga Felda datang ke program ini kerana mereka mahukan pembelaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE