Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Syed Saddiq sanggup meleburkan ikatan persaudaraan ini dengan menganiaya sahabat sendiri dengan membuat laporan palsu bagi mendapat kelebihan politik.

“Syed Saddiq pun berkawan rapat dengan Azri, sebab itu Azri pergi dekat dengan dia, peluk dia bukannya cekak, pegang bahu dia saja, cakap secara kawan sebab mereka memang kawan baik.

“Akhirnya kawan ini terpaksa meringkuk dalam lokap tiga malam.

Ini satu penganiayaan dan bagi kami di Pemuda UMNO, kita ada sempadan dalam berpolitik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Ziarah Kasih di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang di sini hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi lagi, sekiranya betul bersalah, beliau sendiri juga tidak akan mempertahankan Papagomo daripada peringkat awal lagi.

“Pada peringkat awal pun saya tidak akan pertahankan tapi terbukti dia tidak melakukan apa-apa yang mencederakan.

“Bila menteri buat laporan, tentulah pihak berkuasa pandang serius dan akhirnya kesan penganiayaan kepada Papagomo,” katanya.

Wan Muhammad Azri sebelum ini direman tiga hari bermula bagi membantu siasatan selepas Syed Saddiq membuat laporan polis mendakwa beliau dicekak oleh Ahli Exco Pemuda UMNO itu semasa penamaan calon PRK Semenyih, Sabtu lalu.

Namun begitu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan insiden tersebut sebagai salah faham serta bukannya serangan dan Muhammad Azri dibebaskan semalam.

Sementara itu, tegas Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO akan membuat laporan polis balas terhadap Syed Saddiq di atas kesalahan membuat laporan palsu.

“Saya akan pastikan laporan polis ini dibuat bahkan telah dibuat pun dan laporan itu menjurus kepada dua perkara.

“Pertama Syed Saddiq lakukan kesalahan jenayah kerana buat laporan palsu sehingga menyebabkan orang tak bersalah teraniaya dan kedua melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya apabila masuk laluan BN, perlakuan itu pun boleh dianggap provokasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE.