Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jasa dan sumbangan mereka kepada UMNO dan negara adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan dan wajar dihargai.

"Namun begitu, kini mereka memilih haluan berbeza dan memutuskan untuk meninggalkan UMNO dan perjuangannya.

"Saya yakin, ini adalah satu keputusan yang tidak mudah kepada semua," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar UMNO semalam kerana mendakwa hala tuju parti itu tidak lagi selari dengan prinsip politiknya.

Anifah yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis dan bekas Menteri Luar turut berbuat demikian hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, UMNO akan memberi perhatian dan penekanan serius terhadap agenda pemulihan dan hala tuju parti supaya tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangan.

Beliau mengakui proses tersebut berjalan dengan sedikit perlahan dan tidak serancak atau radikal seperti diharapkan semua pihak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Perkara ini akan menjadi tanggungjawab saya, Majlis Kerja Tertinggi dan Presiden parti untuk dilakukan dengan secepat mungkin," katanya. - UTUSAN ONLINE