RUSDI OMAR
RUSDI OMAR 

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, beliau melihat tindakan Mustapa dan Anifah itu sebagai tanda protes kepada Ahmad Zahid yang gagal memulihkan parti termasuk dikatakan tidak bersetuju dalam soal kerjasama dengan Pas.

Katanya, beliau menjangkakan situasi akan bertambah buruk kepada parti sekiranya ramai lagi pemimpin UMNO mengikut jejak langkah Mustapa dan Anifah selepas ini.

“Mahu tidak mahu, Presiden (Ahmad Zahid) perlu membuat keputusan tepat jika enggan melihat keburukan terus berlaku kepada UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar UMNO kerana hala tuju yang diambil oleh UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang dipegangnya.

Beliau dilaporkan berkata, secara prinsipnya, pendirian politiknya adalah UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, sederhana dan berhaluan tengah.

Hari ini, Anifah yang juga bekas Menteri Luar pula mengambil tindakan sama dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Tambah Rusdi yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Zahid dilihat gagal menunjukkan kepimpinan yang baik sebagai Presiden UMNO selain tidak tegas dalam menangani permasalahan yang ada sehingga membuatkan parti hilang punca.

Katanya, ini dapat dilihat bagaimana Ahmad Zahid gagal memandu dan mengawal wakil-wakil rakyat UMNO Perlis sehingga menyebabkan wujud krisis berpanjangan melibatkan Raja Perlis dalam isu pelantikan Menteri Besar baru-baru ini.

“Tindakan beliau (Ahmad Zahid) melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi UMNO Selangor; Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Pengerusi UMNO Terengganu dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi UMNO Perlis juga dipertikai.

“Lebih terkesan lagi ialah bagaimana beliau membuatkan UMNO seperti hilang maruah dengan melutut untuk bekerjasama dengan Pas sedangkan pada hakikatnya UMNO mempunyai kerusi yang jauh lebih besar berbanding kerusi milik Pas di Parlimen. - UTUSAN ONLINE