Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini hanya pimpinan PH dan warganet penyokong parti itu sahaja yang berhempas pulas mempertahankan tindakan menari kedua-dua penjawat awam berkenaan.

Tambahnya, ramai yang salah anggap dengan pendirian Pemuda UMNO kononnya menentang majlis tari-menari, sedangkan yang dibangkitkan adalah mengenai persepsi rakyat terhadap prinsip pemisahan kuasa, etika dan integriti institusi kehakiman.

“Oleh yang demikian, tindakan untuk terus berdiam diri oleh Malanjum, Tommy atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dengan harapan isu ini berlalu pergi hanyalah akan membenarkan persepsi bahawa mereka telah melanggar peruntukan Kod Etika Hakim 2009.

“Atau lebih buruk, mereka sebenarnya meraikan kemenangan PH dalam PRU-14,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi video yang tular tersebut, selain kedua-dua tokoh itu dan Vui Keong, antara mereka yang berprofil tinggi didapati berada dalam video sama ialah peguam-peguam yang dilihat sebagai pro-PH, Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.

Kata Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO mendesak Malanjum dan Tommy memberikan penjelasan kepada rakyat adakah tindakan menari sepentas bersama peguam-peguam persendirian adalah mematuhi kod etika kehakiman dan masih dalam lingkungan tatakelakuan penjawat awam yang dilantik.

Malah beliau turut mempersoalkan Ambiga yang turut berdiam diri tanpa memberi komen mengenai perkara itu walaupun sebelum ini lantang dalam isu-isu integriti dan etika kehakiman dan perundangan.

“Justeru, wajar mereka bertiga tampil segera dalam sidang akhbar dan memberikan penjelasan agar integriti dan kebebasan institusi kehakiman negara dapat dijamin,” katanya.

Katanya lagi, tindakan berdiam diri hanya akan membina persepsi tidak sihat dalam kalangan rakyat terhadap kredibiliti institusi kehakiman selain menonjolkan keangkuhan bahawa mereka begitu berkuasa sehinggakan tiada siapa mampu memaksa mereka membuat penjelasan termasuklah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang belum mengeluarkan apa-apa kenyataan. - UTUSAN ONLINE