Memetik laporan akhbar The Star baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut berkaitan nama Rafizi sewaktu berbincang mengenai rancangan masa depannya yang akan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dua tahun lagi.

Menurut laporan itu lagi, Anwar dikatakan menyebut me­ngenai Rafizi ketika ditanya sama ada jawatan timbalan perdana menteri akan disandang Moha­med Azmin atau Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Macam mana nama Rafizi (sebagai Timbalan Perdana Menteri) tidak ada? Boleh petik (kenyataan) saya, tapi tolong nyatakan saya katakan ini dalam nada bergurau,” katanya.

Pemilihan PKR akan bermula pada penghujung Ogos dan nama-nama calon perlu diserahkan pada 27 Julai hingga 29 Julai.

Sementara itu, menurut portal Ma­laysiakini pula, berdasarkan kenyataan Anwar mengenai Rafizi di dalam akhbar The Star itu, timbul spekulasi bahawa beliau lebih cenderung untuk memilih Rafizi sebagai timbalannya dalam PKR.

Bagaimanapun, jelas portal berkenaan, Naib Presiden PKR itu masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Saya belum buat apa-apa keputusan,” kata Rafizi seperti yang dipetik melalui portal Malaysiakini.

Usaha Utusan Malaysia menghubungi Rafizi juga gagal kerana dia tidak menjawab panggilan.