Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, tiga perkara tersebut adalah amat jelas sekali gus mampu menyangkal pendapat Dr. Mahathir itu.

Pertama, katanya, Malaysia dibentuk atas konsep Federalisme (fahaman Persekutuan), ia termaktub dalam Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan dan atas konsep itu terdapatnya sistem dwi-kerajaan yang mengiktiraf kewujudan kerajaan pusat di peringkat persekutuan dan kewujudan kerajaan negeri bagi setiap negeri dalam Persekutuan.

Konsep Federalisme itu juga, menurutnya, menyatakan dengan jelas pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan negeri iaitu Senarai Perundangan seperti yang terdapat Jadual Ke-Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan pula menjamin hak Raja dan Perlembagaan Negeri, iaitu Artikel 71 (1) dengan jelas menyatakan Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri bagi setiap negeri yang membentuk Persekutuan.

“Artikel 181 (1) pula menyentuh mengenai Kedaulatan Raja-Raja yang mengabsahkan Perlembagaan Persekutuan iaitu bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah mereka masing-masing sebagaimana telah ada dan dinikmati hingga kini, adalah tetap dan tidak terjejas,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Noor Azleen berkata, Dr Mahathir sebenarnya terbawa-bawa dengan ego dan persengketaan berpanjangan beliau dengan pihak Istana Johor mengenai beberapa isu khususnya yang terbaharu mengenai pelantikan Menteri Besar serta rombakan barisan Exco Johor.

Tegasnya, Perdana Menteri sewajarnya memberikan fokus dan lebih tumpuan kepada isu utama yang membelenggu negara pada ketika ini iaitu dengan mempertingkatkan usaha memulihkan keadaan ekonomi negara yang kian mundur.

“Dr Mahathir sepatutnya beri tumpuan isu yang dekat dengan rakyat dan bukannya sibuk menggunakan isu berkaitan perlembgaan untuk meraih simpati rakyat hanya kerana kegagalan pentadbiran beliau menguruskan ekonomi negara,” katanya. UTUSAN ONLINE