Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, yang pertama, mereka perlu pulang dengan keyakinan tanpa ragu-ragu bahawa UMNO sudah bersedia sepenuhnya menghadapi PRU-14 apabila menyelesaikan soal kepemimpinan melibatkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Soal kepemimpinan dah selesai. Nombor satu, nombor dua, nombor tiga dah selesai. Datuk Seri Hishammuddin (Tun Hussein) nombor tiga, okey?,” kata­nya sambil disambut tepukan oleh perwakilan.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan yang dianggap penuh bersemangat dan keyakinan, Najib mengingatkan ahli-ahli UMNO menyelesaikan masalah di peringkat bahagian dengan ke­sepakatan.

“Bekalan kedua, pulanglah dengan semangat cinta dan kasih yang kental kepada parti dan yang ketiga, pulang dan berjuang, berperang, bertempur dan menggempur penuh berani untuk UMNO dan BN menang besar,” katanya.

Najib menyatakan semua momentum sokongan termasuk daripada kakitangan kerajaan dan peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) kini menyebelahi BN kerana mereka yakin dengan hala tuju kerajaan.

“Jadi, tuan-tuan sekalian, lalu dengan rasa semangat yang membara, dan api perjuangan yang semakin menyala-nyala, tugas kita kini hanyalah satu. Apa dia? Jaga­lah azimat dan wasiat ini sampai bila-bila.

“Tiga azimat supaya menjadi pendinding, kekebalan dan kekuatan parti berkaramah ini bersatu, bersetia dan berkhidmat. Walau dikerat kaki dan ta­ngan panji-panji UMNO pasti terus dikibarkan,” katanya.

Najib yang turut melahirkan penghargaan terhadap ahli-ahli UMNO yang menjadi pemerhati sepanjang perhimpunan berlangsung menegaskan, UMNO adalah parti masa depan dan telah membuktikan keupayaannya dengan melaksanakan pelbagai agenda bagi membangunkan negara.

“Kita ada agenda yang lengkap, belah sana tu (pembangkang) tidak ada, kucalana, carca marba, sekejap kata ini, esok kata lain. Sekejap kata dedak, lepas tu BR1M masuk dalam manifesto.

“Sekejap tolak GST, sekarang terima nak separuh pula, apa ini? Ini bukan kartun tuan-tuan! Ini kartun. Ini bukan mentadbir negara dengan serius,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat tidak boleh meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Penasihat, Lim Kit Siang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Takkanlah kita hendak letak masa depan negara antara dua (orang) ini. Saya tak nak cakap pasal diri saya, sebaliknya kita mempunyai agenda untuk negara yang jauh lebih baik terbukti kejayaannya dan insya-Allah akan kita jayakan lebih hebat lagi,” katanya.