Najib berkata sejak 10 tahun lepas prestasi pembayaran semula PTPTN tidak begitu memuaskan antaranya disebabkan hasutan dari pihak pembangkang ketika itu yang menjanjikan pemansuhan hutang PTPTN sekiranya menang pilihan raya umum.

"Dalam isu PTPTN bukan sahaja kaum Melayu tidak membayar tetapi ramai juga peminjam dari kalangan kaum-kaum lain yang menerima pinjaman PTPTN kerana termakan hasutan Pakatan.

"Hakikatnya, Pakatan yang merosakkan PTPTN dan mereka tidak patut menggunakan isu ini sebagai alasan untuk menyalahkan satu kaum sahaja. Maka, Pakatan perlu bertanggungjawab terhadap tindakan ramai yang tak mahu membayar pinjaman PTPTN," kata Najib.

Najib berkata, oleh kerana kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memansuhkan hutang PTPTN seperti dijanjikan beliau menyeru kepada semua peminjam tak kira bangsa untuk menunaikan tanggungjawab mereka membayar balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing.

Ini agar lebih ramai lagi pelajar-pelajar boleh mendapat bantuan PTPTN pada masa depan.

Dalam ucapan Majlis Ulangtahun Ke-2 Bersatu di Stadium Malawati Sabtu lalu, Dr. Mahathir mahu masyarakat Melayu menilai kesalahan dilakukan supaya mudah untuk memperbetulkan diri daripada meminta ia diperbetulkan oleh orang lain

Dr. Mahatir yang juga Presiden Bersatu, menegur sikap masyarakat Melayu yang kurang beramanah, serta tidak berasa bertanggungjawab dengan apa yang diamanahkan kepada mereka selain mudah mungkir janji termasuk membayar hutang PTPTN.

“Jika kita hutang, berat bagi kita membayar balik. Demikian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Bukan banyak yang kita diminta bayar balik. Sedikit sahaja.

“Kita mampu. Kalau pun gaji kita hanya RM2,000 sebulan, apalah sangat RM100 sebulan... hanya lima peratus. Tetapi yang dapat lebih daripada itu pun tidak bayar. Lokek.

“Walau apa pun alasan yang diberi, hakikatnya kita tidak bayar hutang. Bagi kita ini perkara kecil. Tetapi bagi bangsa kita, ia memburukkan kepercayaan kepada kita.

“Hutang yang tidak dibayar oleh peminjam PTPTN berjumlah RM36 billion. Hampir sama dengan jumlah wang 1MDB yang dicuri,” kata Dr. Mahathir seperti yang dilaporkan media.-UTUSAN ONLINE