MAH SIEW KIONG
MAH SIEW KIONG

Menurut Siew Keong, beliau menyedari propaganda pembangkang ketika ini yang menghasut masyarakat Cina kononnya beliau akan tetap dilantik sebagai menteri sekali pun tewas di kerusi Parlimen Teluk Intan.

“Tetapi saya tegaskan sekali lagi saya tidak akan menerima pelantikan sebagai Senator atau menjadi menteri jika kalah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengakui berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan kerusi Teluk Intan yang dimenangi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 dengan majoriti hanya 238 undi.

Bagaimanapun tambahnya, beliau optimis dengan segala gerak kerja yang dilakukan Gerakan sejak PRU-13 dalam menarik semula keyakinan pengundi khususnya masyarakat Cina terhadap parti itu.

“Kita berpegang kepada keyakinan untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi, namun terpulang kepada rakyat untuk menilai,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan beliau menegaskan, Gerakan ketika ini sedang berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung kemungkinan bertukar antara empat ke lima kerusi parti itu pada PRU-14.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pertukaran kerusi itu tidak melibatkan kerusi milik MCA di negeri ini yang sebelum ini menjadi kebimbangan parti berkenaan.

“Dari segi calon Gerakan pula, senarai pertama dan senarai pindaan sudah kita serahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diputuskan,” katanya.