Walaupun mempunyai jentera dan akar umbi yang mantap, gerak kerja Pas yang masih kekal dalam blok pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelihatan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan PKR yang mempunyai banyak sumber untuk menjayakan kempen calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahan pula, PKR yang diterajui Anwar selaku Pre­siden merupakan parti terbesar dalam kerajaan PH dan ramai pemimpin tertingginya menduduki jawatan penting dalam Kabinet.

Kelebihan yang dimiliki itu tidak bermakna Anwar berada dalam kedudukan selesa untuk beroleh kemenangan bergaya dengan mudah Sabtu ini.

Pas yang diwakili Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar telah me­nunjukkan istiqamah yang teguh dalam mempertahankan kepentingan Islam dan faktor ini mampu menarik sokongan pengundi Melayu serta Islam.

Hakikatnya, memang tiada kerjasama antara Pas dan UMNO dalam PRK Parlimen Port Dickson namun itu tidak bermakna ahli-ahli UMNO yang jumlahnya kira-kira 13,000 orang tidak boleh menyokong Pas.

Sikap Pas yang lebih lunak ketika menyeru ahli-ahli UMNO mengundi Mohd. Na­zari berupaya menimbulkan cabaran terhadap Anwar untuk meraih undi orang Melayu lebih-lebih dalam keadaan beberapa pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam suasana politik Malaysia Baharu yang penuh dengan situasi luar jangka, tidak mustahil Pas dapat me­numbangkan atau sekurang-kurangnya ‘mencederakan’ bekas sekutunya dalam Pakatan Rakyat dahulu.