Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan Malaysia-Australia yang terjalin dapat dilihat melalui kerjasama antara kedua-dua negara ini dalam pelbagai sektor antaranya ekonomi, pertahanan, keselamatan, pelancongan dan pendidikan.

Malah, kata beliau, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia semakin berkembang dengan peningkatan pelaburan sebanyak 23.7 peratus pada tahun lalu berbanding pada tahun 2016.

“Malaysia merupakan rakan dagangan kesembilan terbesar untuk Australia manakala bagi Australia pula merupakan rakan dagangan ke-12 terbesar untuk Malaysia.

“Saban tahun, lebih 300,000 rakyat Malaysia melawat Australia dan kini terdapat lebih 26,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di negara tersebut. Ini menunjukkan hubungan erat antara kedua-dua negara yang merentasi pelbagai bidang.

“Ekonomi digital dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) adalah antara bidang baharu yang mana Malaysia dan Australia boleh meningkatkan lagi kerjasama. Hubungan dan kerjasama erat antara kedua-dua negara hari ini tidak akan dicapai atau menjadi kenyataan sekiranya Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi blog NajibRazak.com hari ini.

Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja dua hari ke Sydney, Australia yang berakhir hari ini, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia bersama negara anggota ASEAN lain mengalu-alukan kesungguhan Australia untuk mengintegrasikan ASEAN dan negara berkenaan selain komited bekerjasama dalam usaha memastikan keselamatan dan kemakmuran serantau.

Menurut Najib, sidang kemuncak khas yang diadakan itu menandakan era baharu bagi ASEAN memainkan peranan yang semakin penting di arena antarabangsa.

Malah, kata beliau, dalam sidang kemuncak khas itu, pemimpin dari kedua-dua pihak bersetuju centrality of ASEAN menjadi prinsip yang didokong sepenuhnya oleh Australia.

“Rakan-rakan sejawat saya dari ASEAN dan Australia juga telah memperakui Deklarasi Sydney dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dalam Kerjasama Memerangi Keganasan Antarabangsa,” katanya. -UTUSAN ONLINE