Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kok Wai mempunyai tugasan spesifik dan pelantikan beliau memegang jawatan itu dilihat perlu dalam memperbaiki serta menambah baik hubungan antara Malaysia dengan China.

“Memang pada dasarnya kita tidak lagi membuat lantikan politik sebagai duta. YB (Yang Berhormat) Kok Wai bukan dilantik sebagai duta tetapi special envoy yang ada tugasan spesifik. Beliau tidak mengganggu tugas duta tetapi sebagai pelengkap tugas duta dalam area yang khusus.

“China sebuah negara besar dan kita hendak memperbaiki serta menambah baik hubungan antara Malaysia dan China. Sebab itu difikirkan perlu dilantik duta khas ke China,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Maj­lis Perundingan Parlimen Indera Mahkota (MPPIM) di Kompleks Dagangan Mahkota di sini hari ini.

Isu pelantikan Kok Wai sebagai Duta Khas Malaysia ke China timbul selepas mendapat bantahan pembangkang memandangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengkritik pelantikan seum­pama itu.

Saifuddin yang juga Ketua Sekretariat PH berkata, secara dasarnya, pelantikan Kok Wai itu sudah diputuskan dan surat rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi, namun ada yang salah faham mengenainya.

“Beliau memang telah dilantik tetapi lantikan rasminya, bila itu, tunggu surat. Saya rasa surat pelantikan itu akan menyusul segera daripada Pejabat Perdana Menteri,” ujarnya.

Sementara itu berhubung peranan MPPIM, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, ia adalah perjumpaan disertai pihak-pihak berkepen­tingan dalam mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang timbul di kawasan diwakilinya itu.

Katanya, antara fokus utama MPPIM ialah pembangunan ekonomi setempat, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan membangunkan industri pelancongan yang dilihat mampu menjana pendapatan tambahan kepada penduduk.