Apatah lagi, menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, agenda perpaduan ummah dengan Pas itu tidak melibatkan dasar dan perlembagaan parti atau sehingga menyaksikan penggabungan antara kedua-dua parti.

Sebaliknya, ujar beliau, perpaduan ummah itu lebih kepada kerjasama antara kedua-dua parti khususnya dalam merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Kerjasama ini supaya kita dapat membentuk blok pembangkang yang kuat sebab rakyat ketika ini mahukan pembangkang yang cekap dan berkredibiliti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor di Dewan Pusat Pengajian Darul Hadis Pokok Machang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor; Datuk Mohd. Yusoff Mohd. Nor dan Pesuruhjaya Pas Kawasan Tasek Gelugor, Mohd. Sobri Salleh.

Awal hari ini, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa supaya pemimpin dan ahli parti itu yang tidak lagi sehaluan dengan parti dikenakan tindakan disiplin.

Menurut Tengku Razaleigh, disiplin dalam parti perlu diperkuatkan tambahan pula UMNO kini bekerjasama dengan Pas.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau mengingatkan ahli-ahli UMNO di semua peringkat supaya mengelak daripada sebarang persengketaan yang membawa kepada perpecahan parti.

Kata beliau, kuasa politik orang Melayu sebelum ini semakin melemah dan menguncup disebabkan perpecahan di dalam UMNO yang menyaksikan wujudnya beberapa parti seperti Pas; Semangat 46; PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tambahnya, perpecahan itu juga menyebabkan orang Melayu hilang kuasa politik meskipun merupakan kaum majoriti seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat merangka strategi dan gerak kerja lebih awal bagi menghadapi PRU-15 dalam merampas semula Kerajaan Pusat.

"Di peringkat pucuk pimpinan parti, kita telah menggerakkan perpaduan ummah bersama Pas dan kita berharap agenda ini mendapat sokongan penuh semua ahli UMNO menerusi pelbagai program yang akan digerakkan jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan di setiap cawangan kelak," katanya. - UTUSAN ONLINE