Semua perkara yang dinyatakan dan dibangkitkan oleh Dr. Mahathir itu sebenarnya telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan hari ini di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Penganalisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba, sekiranya pakatan pembangkang membangkitkan isu mahu mendapatkan kembali wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mereka harus sedar bahawa 1MDB merupakan satu pelaburan.

“Konsep pelaburan adalah hasilnya bukan diterima dalam masa yang singkat tetapi akan memperoleh keuntungan buat jangka masa yang lama sekiranya pelaburan itu berjaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir berkaitan tujuh polisi baharu yang dicadangkan pakatan pembangkang melalui siaran langsung di Facebook itu.

Selain itu Baayah berkata, jika kumpulan pakatan itu mahu mempersoalkan tentang hutang negara, semua negara di dunia mempunyai hutang yang tersendiri.

“Hutang negara kita adalah sekitar 55 peratus sahaja dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Berbanding negara lain seperti Singapura, mereka patut tahu bahawa negara tersebut mempunyai hutang melebihi 100 peratus,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ahli Majlis tertinggi Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Rosmawatie Ahmad yakin polisi yang dibawa dalam kerajaan hari ini mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Tun M pernah memerintah Malaysia selama 22 tahun sebelum ini. Jadi, beliau pasti lebih tahu kesan baik dan buruk dalam sesuatu polisi yang ingin dilakukan berdasarkan situasi semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE