Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun menjelaskan, tempoh mengundi di beberapa saluran sememangnya ditamatkan awal iaitu pada pukul 3 petang bagi menjamin aspek keselamatan dan kelancaran logistik.

Malah kata beliau, penamatan awal seumpama itu turut dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Sebenarnya terdapat saluran-saluran terpencil yang terpaksa kita gunakan helikopter untuk komunikasi dan membawa peti undi dari situ. Kita ambil kira kemungkinan cuaca tidak baik yang mana kalau kita habis pukul 5 hingga 5.30 petang, tidak selamat untuk membawa peti undi ke pusat.

"Jadi, sekarang pun musim hujan dan apabila petang awannya rendah menjadikan kerja-kerja logistik berbahaya serta bermasalah. Di kawasan tersebut juga tiada komunikasi dan tiada telefon. Oleh itu kita terpaksa memakai radio amatur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

UMNO melalui Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa hari ini percaya wujud usaha untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi dalam PRK Parlimen Cameron Highlands apabila tempoh mengundi di DUN Jelai yang dimenangi Barisan Nasional (BN) berakhir awal.

Beliau berkata, tempoh mengundi di sebahagian besar Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai terlalu singkat dan ada yang ditamatkan seawal pukul 1 petang.

Menurutnya, hanya empat PDM iaitu di DUN Tanah Rata yang dimenangi DAP

iaitu di Bertam Valley, Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang ditamatkan pada pukul 5 petang.

Mengulas lanjut, Azhar memberitahu, SPR tidak akan sekali-kali melakukan perkara seumpama itu termasuk menghalang pengundi daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

"Oleh itu saya seru pengundi di kawasan terlibat serta parti-parti politik supaya turun awal mengundi," katanya. - UTUSAN ONLINE