Katanya, beliau berpuas hati dengan prestasi dan sumbangan 10 orang Exco sepanjang setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

“Tidak ada rombakan, walaupun kita maklum seorang Exco (Mohamad Nazaruddin Sabtu) kurang sihat. Dalam Dewan Undangan Negeri baru-baru ini saya sudah maklumkan. Dia baru saja tak sihat.

“Kita doakan dia cepat sembuh dan kembali seperti biasa. Saya juga nampak ada masa dia akan jalankan tugas sebagai Exco (Kesenian, Kebudayaan Dan Adat Istiadat Melayu),” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, walaupun dibarisi pemimpin yang tidak berpengalaman dalam pentadbiran, namun terbukti mereka berjaya membawa banyak perubahan di negeri ini selepas mengambil alih kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu.

“Kami orang baharu, tak pernah duduk dalam pentadbiran kerajaan negeri. Saya tak pernah memerintah tetapi kami belajar daripada kesilapan dan pimpinan yang ada.

“Tetapi saya yakin Exco ada pengalaman dari pelbagai bidang. Bakri Sawir (Exco Pertanian dan Industri Aasas Tani) dari Tenaga Nasional Berhad, bukan calang-calang.

“(Exco Pembangunan Belia dan Sukan) Mohamad Taufek Abd. Ghani pernah bersama syarikat Samsung, begitu juga Teo Kok Seong (Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baharu). Ada yang merupakan ahli perniagaan dan peguam.

“Kepelbagaian latar belakang menyumbang kepada kecemerlangan. Setahun lalu adalah tempoh belajar. Ini boleh buat kita berjaya di samping sumbangan pegawai-pegawai kerajaan,” katanya.

Aminuddin berkata, salah satu kelemahan PH adalah gagal untuk menyampaikan pencapaian dan perubahan yang dilakukan dalam tempoh setahun lalu kepada rakyat.

“Ini kelemahan yang saya akui. Rakyat tidak tahu apa kerajaan negeri buat. Ini akan jadi tumpuan kita untuk beritahu rakyat pencapaian yang telah dan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga mengakui masalah jantung dialaminya tidak lama dulu bukan cabaran paling getir sepanjang menjadi menteri besar, sebaliknya menyifatkan menguruskan negeri itu lebih besar cabarannya. - UTUSAN ONLINE