Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebarang aktiviti pembalakan yang sedang berjalan kini adalah hasil kelulusan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) pada penggal sebelum ini.

“Tidak ada sebarang kelulusan baharu untuk projek ladang hutan seperti getah klon balak (TLC), pelbagai spesis dan sebagainya serta tidak ada kelulusan pengecaman dalam Hutan Simpan.

“Segala aktiviti pembalakan yang sedang berjalan kini adalah kelulusan yang telah dibuat pada penggal ke 12 yang lalu,” katanya selepas mesyuarat terakhir Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad melahirkan penghargaan kepada semua Exco, pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah membantu beliau memimpin pentadbiran negeri.

“Terima kasih juga kepada semua rakyat Kelantan yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kerajaan negeri yang memerintah sehingga ke hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE