Menurut laporan portal Malaysiakini yang memetik sumber, hasil penelitian penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  terhadap akaun bank Pas mendapati tiada wang dari 1MDB dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti politik berkenaan.

Dakwa sumber, akaun yang diteliti SPRM adalah akaun yang didaftar di bawah parti.

“Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada SPRM sudah selesai meneliti akaun peribadi pemimpin Pas yang dikaitkan dalam isu tersebut,” lapor Malaysiakini.

Rabu lalu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan telah memulakan siasatan ke atas dakwaan penyaluran dana berkenaan selepas menerima laporan dari orang awam.

Tiga individu iaitu Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa dan bekas pengerusi Bersih, S. Ambiga telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut. - UTUSAN ONLINE