Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam, Pusat Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, banyak program-program kerajaan BN suatu masa dahulu terbukti membawa banyak kebaikan untuk rakyat, misalnya usaha membangunkan sistem pengangkutan awam.

Katanya, program-program pembangunan skala tinggi seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange dan lain-lain terbukti membawa manfaat yang besar kepada negara.

Beliau malah memberitahu, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga ternyata satu projek yang berdaya saing dan boleh merancakkan aktiviti ekonomi negara.

“Masa untuk menyalahkan kerajaan terdahulu sudah berlalu. Rakyat telah memilih PH, maka PH wajar bekerja lebih keras untuk membangunkan negara. Tidak semua dasar-dasar kerajaan terdahulu tidak baik terutamanya pada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang meminta pemimpin-pemimpin yang dilantik untuk mentadbir kerajaan PH berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu.

Mohd. Redzuan sebaliknya meminta pemimpin-pemimpin berkenaan menyambung dan menambah baik apa sahaja dasar demi kepentingan rakyat secara berterusan.

Kata Mohd. Redzuan, dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan terdahulu juga dibuat berdasarkan situasi semasa dan berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Mazlan, setelah lebih setahun pemerintahan PH, boleh dikatakan pencapaian kerajaan pada waktu ini adalah sederhana.

Jelasnya, banyak program-program yang kerajaan PH rancangkan masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan banyak manifesto yang dijanjikan belum ditunaikan.

“Ahli-ahli Kabinet dan pemimpin PH kini patut lebih fokus terhadap usaha-usaha membangunkan negara dan membantu rakyat dengan meningkatkan pendapatan negara, merancakkan ekonomi dan mengurangkan kos kehidupan rakyat.

“Apa yang perlu kerajaan PH lakukan kini adalah memperbaiki kelemahan-kelemahan kerajaan terdahulu misalnya ketelusan dan sistem tender yang lebih terbuka dan pada kos yang berpatutan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE