Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tindak-tanduk meragukan itu jelas menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan terdesak untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Kelantan pula tambah beliau, menjadi 'mangsa' keadaan bagi membolehkan PH meraih undi masyarakat Orang Asli.

"Peguam Negara failkan tindakan mahkamah pada Khamis dan dia kata Kabinet yang putuskan tindakan itu. Kabinet bersidang pada Rabu, maknanya sehari selepas itu dia teruskan failkan di mahkamah. Kemudian kes disebut pada 22 Januari, memang singkat tempohnya.

"Sebab itu kita lihat ini macam satu perancangan politik untuk PRK Cameron Highlands kerana calon dia sebelum ini sudah buat silap berkaitan Orang Asli, dan sekarang dia jadikan Kelantan sebagai mangsa demi mendapatkan undi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Wifi Percuma Kelantan dan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan Telekom Malaysia Berhad (TM), di sini hari ini.

Saman sivil yang difailkan kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan Kelantan dan tujuh lagi itu baru-baur ini bertujuan mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor dan sebutannya dijadual berlangsung esok.

Mohd. Amar dalam pada itu turut mempertikai dakwaan kerajaan Persekutuan kononnya pembalakan dan pertanian diluluskan kerajaan negeri menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap hutan.

Kata beliau, sebelum dimulakan, semua projek di Gua Musang memerlukan laporan Impak Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Jika benar dakwaan kerajaan Pusat, itu bermakna JAS yang merupakan agensi kerajaan Pusat tidak memainkan peranan dia," katanya. - UTUSAN ONLINE