Teresa Kok
Teresa Kok

Menterinya, Teresa Kok berkata, Mohd. Bakke merupakan tokoh yang berintegriti tinggi malah mampu membawa industri minyak sawit negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Meskipun Tan Sri Mohd. Bakke merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) pada satu ketika dahulu, beliau telah meletakkan jawatan kerana kecewa dengan salah laku dalam 1MDB, apabila pemindahan wang secara kontroversi dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah.

“Seperti dilaporkan media, beliau telah menunjukkan kemarahan dan ketidakpuashatian terhadap apa yang telah berlaku dalam 1MDB ketika memberi keterangan pada sesi pendengaran kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2016,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Ezam yang merupakan bekas Ahli Dewan Negara hari ini dilaporkan mengkritik pelantikan Mohd. Bakke bagi menerajui MPOB sebagai ‘keputusan yang salah’ berikutan beliau pernah berada dalam Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Teresa, Mohd. Bakke merupakan tokoh korporat yang dihormati dengan pengalaman meluas dalam industri minyak sawit dan pemain-pemain industri turut memberikan reaksi positif terhadap pelantikannya.

“Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan Tan Sri Mohd. Bakke untuk memimpin MPOB di samping membantu kerajaan meningkatkan usaha menangkis kempen anti-minyak sawit terhadap komoditi negara, dan dalam usaha meningkatkan prestasi industri minyak sawit,” katanya.

Katanya lagi, negara juga akan mendapat manfaat daripada kepemimpinan dan pengalaman Mohd. Bakke dalam mencapai matlamat kerajaan membawa industri minyak sawit ke tahap yang lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE