Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, hal ini kerana rakyat sudah hilang kepercayaan apabila beberapa janji yang dibuat PH sebelum ini masih tidak berjaya  ditunaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, sokongan akar umbi dan kepercayaan masyarakat Orang Asli terhadap calon tempatan daripada masyarakat pribumi itu, Ramli Mohd. Noor juga boleh menyumbang kemenangan Barisan Nasional (BN) dan mengurangkan majoriti calon PH, M. Manogaran.

“Susah nak kata, kerana saya bukan ahli nujum... Kalau tengok kepada trend semasa keadaan akan berubah.

“Sama ada kerajaan sekarang ini jatuh… Wallahualam. Tetapi kita yakin terjejas kedudukannya di Cameron Highlands... Dia (PH) mungkin kalah dan mungkin tak kalah, tetapi undi akan merosot,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis perjumpaan dengan Ahli UMNO Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Asap dalam program ‘Seperdu’ di Sungai Asap di sini, petang semalam.

Dalam program berkenaan Tengku Razaleigh turut melawat ahli veteran UMNO di Sungai Asap.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri,  Ab. Aziz Yusoff dan ADUN  Paloh, Amran Ariffin.

Tambah Tengku Razaleigh, pelbagai janji yang dibuat PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 masih lagi banyak yang tidak tertunai menyebabkan rakyat di negara ini semakin gelisah.

“Jadi orang sudah tak percaya pada kerajaan. Macam di Cameron Highlands juga, macam-macam dia janji, tapi saya rasa orang dah tak percaya,” katanya.

PRK ini adalah yang kelima selepas PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor dan pilihan raya Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE