Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage berpendapat penurunan had umur ahli Dewan Negara pada tahap 30 tahun ketika ini sangat kritikal supaya penggubalan dasar di era Malaysia baharu dapat memenuhi aspirasi dan keperluan generasi muda.

Beliau menjelaskan, hujah yang cuba menggambarkan anak-anak muda di bawah umur 30 tahun tidak layak menjadi seorang ahli Dewan Negara tidak lagi boleh digunapakai kerana seorang daripada menteri Kabinet juga berumur kurang 30 tahun.

“Kita jangan sesekali lupa bahawa Dewan Negara menggubal undang-undang untuk seluruh rakyat Malaysia, bukan untuk golongan yang berumur melebihi 30 tahun sahaja. Oleh itu, suara mereka berusia kurang 30 tahun juga berhak didengari dan dipertimbangkan dalam Dewan Negara.

“Malah, usul penurunan had umur pengundi bererti ahli-ahli Parlimen prihatin dan bakal memberi tumpuan kepada penggubalan polisi dan undang-undang berkaitan orang muda. Maka, Dewan Negara perlu bersedia dengan perubahan ini. Kelayakan seseorang tidak wajar dilihat melalui faktor umur tetapi harus dilihat pada kemampuan membawa agenda rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE