Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya juga bersetuju dengan usul berkenaan asalkan perkara itu menepati ruang lingkup perlembagaan negara termasuk peraturan-peraturan biasa.

“Namun, harus diingat bukan perkara mudah untuk kita membuat keputusan itu kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Ahli Parlimen, kita ada hak untuk keselamatan diri dan keluarga.

“Kita pun bersetuju, hendak isytihar harta, apalah masalah sangat. Isytihar sahajalah selagi harta itu didapati secara betul, tiada masalah. Cuma maklumat itu perlu dijadikan sebagai ‘confidential’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Moh Mengopi bersama Datuk Saarani Mohamad anjuran UMNO Perak yang turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dekat Matang di sini hari ini.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan usul berkenaan yang bakal dikemukakan untuk diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 bermula 23 Julai ini.

Semalam, Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pihaknya menerima usul tersebut daripada ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu yang mengemukakannya atas dasar akauntabiliti dan ketelusan.

Menurut Koo Ham, usul itu mengehendaki semua ADUN di negeri ini untuk mengisytiharkan harta termasuk isteri atau suami, anak serta akaun pemegang amanah di bawah mereka.

Dalam pada itu, Saarani berkata, beliau tidak mahu sekiranya pengisytiharan harta yang dipaparkan kepada umum kelak bukan sahaja memberi kesan terhadap seseorang ADUN tetapi juga kepada keluarga terutama isteri, anak dan cucunya.

“Adakah anda fikir Speaker Perak yang isytihar dia ada RM82 juta, ingat lena tidur ke? Takut orang hendak rompak, culik dan ugut. Jadi, peraturan itu kita hendak bahaskan.

“Saya tengok macam mana Parlimen buat, betul lah tetapi sekarang, antara Ahli Parlimen itu sendiri sedar bahawa dia terdedah kepada ancaman keselamatan, jadi jangan main-main,” katanya. - UTUSAN ONLINE