Tanpa berselindung, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengakui parti itu sedang berhadapan konflik dan menegaskan saat ini merupakan masa terbaik untuk Anwar memperbetulkannya.

Jelas Zuraida yang merupakan seorang daripada 27 ahli PKR dalam kenyataan bersama ‘mengkritik’ Anwar hari ini, parti itu dilihat tidak ‘belayar’ pada arah yang sepatutnya ketika ini.

“Saya rasa inilah masa terbaik untuk PKR mula bersatu dan mengukuhkan kembali parti, jadi terpulang kepada Anwar untuk berbuat demikian. Kita semua mesti menolak politik jijik dan mencari dalang (penyebaran video seks).

“Saya sertai pemilihan parti sebelum ini untuk mengukuhkan lagi PKR tetapi parti ini dilihat tidak bergerak ke arah yang sepatutnya, ini yang menyebabkan saya kecewa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Seramai 23 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan empat ahli Parlimen PKR dalam satu kenyataan bersama hari ini menegaskan Anwar sepatutnya mempertahankan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada sebarang tuduhan yang dilemparkan, bukan memaksanya meletakkan jawatan.

Anwar kemudiannya dilihat cuba meredakan ketegangan suasana dengan beranggapan Timbalan Presiden PKR itu tidak membaca berita penuh mengenai cadangan untuk meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menerima baik ‘teguran’ 23 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan empat ahli Parlimen PKR kerana menyifatkan kenyataan bersama yang dikeluarkan itu sebagai peringatan bagi memastikan parti berkenaan kembali bersatu. – UTUSAN ONLINE