Huan Cheng Guan

Kali ini terbongkar pula status meragukan tiga syarikat yang turut membida pembelian tanah ber­kenaan yang sebenarnya berstatus bubar, gulung tikar dan ditutup, namun kerajaan negeri mendakwa mereka telah memenuhi syarat ketat selain memiliki pengalaman luas dalam menguruskan pusat perubatan pakar yang mahu diba­ngunkan di situ.

Pendedahan terbaharu itu dibuat oleh Naib Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan bersama dokumen lengkap Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung status ketiga-tiga syarikat terbabit iaitu United Overseas Empire Sdn. Bhd. (UOE), GM HealthCare Sdn. Bhd. (GMHC) dan Ranting Setia Sdn. Bhd. (Ranting Setia).

Menurut beliau, permohonan untuk cadangan (RFP) dibuat kali pertama pada 10 Ogos 2009 dan hanya tiga syarikat menyertainya iaitu UOE, GMHC dan Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC), namun ketiga-tiganya dibatalkan sebulan selepas itu memandangkan wakil-wakilnya tidak hadir semasa sesi taklimat wajib dan lawatan tapak menyebabkan mereka dikira sebagai melanggar syarat pemerolehan.

Berikutan itu, Cheng Guan memberitahu, satu lagi RFP dibuat bagi tujuan sama pada 16 Februari 2010 dan kali ini, empat syarikat mengemukakan bidaan termasuk Ranting Setia.

“Seperti kita sedia maklum, syarikat yang memenanginya adalah KLIDC, yang dimiliki secara majoriti oleh bos (ketua) kepada Phang Li Koon, Datuk Tang Yong Chew,” katanya menerusi blog beliau iaitu datukhuan.blogspot.my semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap syarikat UOE mendapati ia hanya diperbadankan dua hari selepas tarikh sesi taklimat wajib dan lawatan tapak yang dibuat pertama kali itu dan syarikat tersebut kini didakwa tidak lagi berfungsi selepas menyertai tender terbuka berkenaan.

“Tiada sebarang perolehan pada tahun kewangan 2010 dan tidak pernah lagi mengemukakan pe­nyata kewangan kepada SSM dalam tempoh enam tahun dan status syarikat itu kini dikategorikan sebagai bubar.

“Syarikat GMHC pula diisytiharkan muflis sejak Jun 2009 dengan nilai aset negatif serta tidak lagi mengemukakan penyata kewangan selama tempoh enam tahun sejak 2010. Penerima syarikat ini dilantik pada 2011 dan ia kini disenaraikan sebagai sudah gulung tikar,” katanya.

Tambah Cheng Guan, syarikat Ranting Setia pula kini dalam status dorman (tidak aktif) dan didakwa tidak pernah mengemukakan penyata kewangan kepada SSM sejak tujuh tahun lalu, malah penyata kewangan terakhir dikemukakan adalah pada tahun 2008 dan status syarikat itu kini ditutup.

Katanya, adalah sesuatu yang menghairankan apabila ketiga-tiga syarikat terbabit gagal meneruskan operasi mereka dan mengemukakan penyata kewangannya selepas menyertai ‘tender yang ketat’ itu.

Beliau secara sinis mendakwa, keadaan itu berkemungkinan faktor feng sui yang tidak baik bagi ketiga-tiga syarikat itu dalam mengemukakan RFP bagi bidaan tersebut sebagaimana reaksi Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok yang me­ngaitkan harga banglo murah yang dibeli Guan Eng.

“Hanya KLIDC melepasi proses tender itu namun syarikat itu yang memperoleh pendapatan berjuta ringgit pada 2010-2011, tiba-tiba menjunam kepada kosong bagi penyata kewangan terkini. Tetapi itu cerita lain yang akan saya tulis nanti,” tambahnya.

Sehubungan itu, Cheng Guan mendesak pentadbiran kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP agar mengamalkan ketelusan dalam tender terbuka dan bukannya RFP berpilih selain perlu mengumumkan cadangan keempat-empat syarikat terbabit.

“Ia bagi membolehkan rakyat memahami mengapa ada feng sui tidak baik terhadap mereka akibat daripada bidaan ini,” katanya.

Semalam, Gerakan Pulau Pinang mendedahkan bagaimana pemilik banglo, Li Koon boleh membeli sebuah bangunan usang berdekatan tanah Taman Manggis pada harga jauh lebih tinggi daripada hartanah tersebut.