Presiden PKR itu berkata, terdapat perkataan dalam bahasa Melayu yang lebih sesuai digunakan sekali gus dapat memartabatkan Bahasa Kebangsaan tersebut.

“Saya sudah tegur (Datuk Seri) Saifuddin (Nasution Ismail). Carilah bahasa Melayu. Saya dulu pernah jadi Presiden Bahasa Melayu Universiti Malaya. Saya garang masa itu.

“Saya tidak menentang bahasa Inggeris, sebaliknya saya antara menteri yang kuat mempromosi bahasa Inggeris. Tapi jangan sampai ada persepsi kita merendahkan bahasa Melayu.

“Takkan ‘food bank’ dan ‘happy hour’ tak ada dalam bahasa Melayu. Kalau mahu saya boleh terjemahkan,” katanya semasa berucap merasmikan Karnival Jualan Pengguna - Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd. Aziz dan Pegawai Daerah Port Dickson, Khairi Makmur.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, langkah KPDNHEP mengawal harga barangan bukan tugas mudah kerana dalam hukum ekonomi, harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran.

Jelasnya, terdapat ahli ekonomi yang tidak bersetuju dan berpandangan bahawa pihak kerajaan tidak patut campur tangan dalam mengawal harga barangan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan sentiasa menghormati hak peniaga dan dalam masa yang sama memastikan pengguna tidak tertindas.

Beliau turut menyifatkan KPDNHEP kini lebih tegas melakukan penguatkuasaan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan dan rakyat patut menghargai sumbangan dan kerjas keras mereka. - UTUSAN ONLINE