Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof menarik perhatian, seandainya Santiago dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam sesuatu syarikat, `sah dia akan merujuk kepada stafnya untuk membuat keputusan’.

“Dia mesti ingat Tun (Dr. Mahathir) telah diangkat menerusi proses demokrasi dan diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab serta (ada barisan menteri) berpasukan di Kabinet.

“(Maka) kurang cerdik pendapat (Santiago) untuk Tun (selaku Perdana Menteri) merujuk (setiap keputusan Kabinet) kepada majlis Pakatan Harapan (PH).

“(Ini bermakna) tak perlulah ada jawatan PM kalau mengikut pendapat Santiago.

“Santiago patut tahu, PM selalu mengambil kira pendapat-pendapat daripada menteri-menteri Kabinet sebelum membuat sebarang keputusan. Dan semua keputusan adalah kolektif dan konsensus,” tegas Mohd. Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan kepada Utusan Malaysia pagi ini.

Semalam, Santiago dalam kenyataan menerusi laman Facebook miliknya menyuarakan kebimbangannya tentang pentadbiran PH.

Kata pemimpin DAP itu, Dr. Mahathir sering membuat keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan beliau berkuasa walaupun datang daripada parti kecil.

Beliau memberi contoh isu pengajaran seni khat Jawi di sekolah yang timbul baru-baru ini, yang mana dia mendakwa Dr. Mahathir melakukan keputusan dengan sewenang-wenangnya.

Selain isu Zakir Naik yang didakwa Santiago bahawa PH melindungi pendakwah kontroversi itu, dia turut mengaitkan situasi tersebut dengan beberapa isu lain seperti penolakan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rom dan kilang Lynas.

“(Dr.) Mahathir sepatutnya sudah boleh membaca perasaan rakyat ketika ini. Dan dia mesti faham bahawa keputusan secara sewenang-wenangnya tanpa perbincangan tidak akan membawa dia jauh,” kata Santiago lagi. - UTUSAN ONLINE