WAN KHAIRUL IHSAN
WAN KHAIRUL IHSAN 

Pengerusi Institut Modenisasi Anak Muda Kelantan (Impak), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, isu hilang kepercayaan kepada parti bukan perkara baharu dan bukan isu utama, malah keadaan itu boleh berlaku setiap masa.

Walaupun sering berlaku kata beliau, perkara itu tidak perlu ditangisi kerana setakat ini, tidak ada satu pun parti ranap atau roboh hanya disebabkan seorang pemimpin keluar daripadanya.

"Hari ini PKR berkuasa di Putrajaya setelah segerombolan ahlinya pernah keluar parti suatu ketika dulu. Perkara sama mungkin berlaku kepada UMNO. Tidak mustahil dengan semua musibah ini bakal ada hikmah yang jauh lebih besar dianugerahkan Allah SWT dalam perjuangan UMNO.

"Justeru itu tidak perlu terlalu awal rakan-rakan mencari titik momok untuk dibicarakan secara terbuka berkaitan keburukan Tok Pa. Sudah pasti beliau punyai alasan tertentu," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan keluar UMNO dengan alasan perjuangan UMNO kini tidak selari dengan prinsip dipegang beliau selama ini.

Mengulas lanjut, Wan Khairul Ihsan berkata, sebagai bekas pemimpin PKR, beliau pernah melalui situasi sama apabila keluar dari parti pada 2010 walaupun ketika itu parti baru berkuasa di Selangor.

"Apa yang penting UMNO jangan dilihat sugul seperti kematian isteri. Tak bermaya dan meratap kesedihan sehingga hilang selera makan.

"Jadilah duda yang berwawasan, selepas musibah akan ada takdir Allah SWT mengurniakan dua pintu hikmah yang mungkin ditemukan jodoh yang jauh lebih istimewa di dalamnya," katanya. - UTUSAN ONLINE