Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, peminjam-peminjam PTPTN telah dihasut selama 10 tahun oleh Pakatan untuk tidak membayar balik pinjaman mereka.

"Kini mereka sering dimarah oleh Pakatan kerana tidak membayar pinjaman pula.

"Peminjam-peminjam PTPTN hanya mahu menuntut Pakatan untuk tunaikan janji-janji mereka. Sudah jatuh ditimpa tangga," kata Najib dalam hantaran terbaharu di Facebook beliau hari ini.

Dalam hantar tersebut, Najib bagaimanapun menasihatkan peminjam untuk membayar semula pinjaman mengikut keupayaan masing-masing. Ini kerana akibat langkah populis kerajaan kini mengalami tekanan fisikal yang teruk.

Najib mendakwa kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM40 bilion setiap tahun selepas pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), melaksanakan semula subsidi pukal dan mengalami ketirisan dalam pengutipan cukai korporat dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi mesti membayar hutang termasuk dalam soal pinjaman PTPTN.

Tegas Dr. Maszlee, sebagai rakyat Malaysia sama ada beragama Islam atau agama apa sekalipun tanggungjawab membayar hutang perlu ada di dalam diri.

Menurut beliau membayar pinjaman walaupun bernilai 10 sen menjadi tanggungjawab moral yang mencerminkan akhlak si peminjam.-UTUSAN ONLINE