Kor Ming berkata, pihak lembaga pengelola sekolah sebaliknya ingin mengenang jasa beliau atas usahanya mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) untuk bangunan baharu di sekolah berkenaan yang telah siap dibina sejak tiga tahun lalu tetapi masih belum dapat diduduki.

Kor Ming berkata, beliau juga telah mendapatkan peruntukan kecemasan daripada kerajaan Pusat sebanyak RM220,000 untuk digunakan pihak sekolah bagi membeli beberapa kemudahan termasuk kerusi dan meja sekali gus membolehkan sesi persekolahan di bangunan baharu itu dapat beroperasi pada Januari tahun ini.

“Sebelum ini pihak jawatankuasa pembinaan sekolah ada membuat garis panduan bahawa mana-mana pihak yang dapat mencari tajaan tidak kira duit dari mana, lebih daripada RM100,000, mereka akan letak nama di bangunan tersebut.

“Saya rasa perkara ini cuba dijadikan satu isu kerana individu yang membuat video ini memang merupakan pemimpin MCA dengan menyamar sebagai netizen. Sekarang ini mereka hendak tabur fitnah tetapi tidak berani untuk mendedahkan identiti, dia adalah Timbalan Setiausaha Bahagian MCA Gopeng,” katanya.

Kor Ming berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran DAP Perak di sini hari ini.

Kor Ming diminta mengulas mengenai satu video dimuat naik dalam Facebook, meminta beliau memberikan penjelasan ekoran penamaan bangunan sekolah tersebut dengan nama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang dipertikai bermotifkan peribadi.

Dalam pada itu, Kor Ming turut mempersoalkan, sekiranya pihak sekolah ingin mengenang jasa beliau, adakah patut beliau menolaknya ibarat ‘orang berbudi, kita berbahasa’.

“Jika perkara ini hendak dijadikan isu, pergilah tengok Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) ada Dewan Tun Dr Ling Liong Sik dan kawasan Beruas kampung saya, semua sekolah bangunan ada nama Tun Dr Lim Keng Yaik. Bolehlah semuanya diturunkan jika perkara ini hendak dijadikan isu,” katanya. - UTUSAN ONLINE