Begitu juga dengan sebahagian daripada pengisian Malaysia Baharu jika merujuk kepada tingkah laku pemimpin untuk memenangi pilihan raya. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk menang.

Sebelum ini jentera kerajaan jelas digunakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan terbaharu bibit-bibit dejavu sudah kelihatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sedangkan apabila Naib Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengingatkan ‘perlu menang dengan apa cara’ pada tahun lalu, beliau dikecam kononnya membawa amalan buruk Barisan Nasional (BN) dan tidak selari dengan dasar Pakatan Harapan (PH).

Namun apa nak dikata apabila Semenyih menyaksikan tiga hari berturut-turut menerima ‘lawatan kerja’ Menteri. Kelmarin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam Dr. Maszlee Malik dan hari ini Datuk Seri Rina Mohd. Harun serta Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadualkan ke kawasan tersebut.

Dr. Maszlee dan Syed Saddiq menafikan program berkaitan jawatan mereka dalam kerajaan itu ada kena mengena dengan PRK  DUN Semenyih yang bakal bermula secara rasmi Sabtu ini. 

“Ya lah tu YB...” kata seorang warganet dalam ruangan komen di sebuah portal. “Carilah DUN mana yang terima kunjungan menteri secara berturut-turut kecuali Parlimen Putrajaya”, seloroh satu lagi komen. 

Bak kata pepatah Inggeris, “tindakan menggambarkan lebih daripada kata-kata”. Sebab itu, keadilan bukan hanya harus dilaksanakan tetapi mesti dilihat dilaksanakan. 

Pertubuhan pemantau pilihan raya sendiri resah melihat perkembangan ini sedangkan Malaysia Baharu sudah dicanang satu dunia. Namun dalam pertempuran, itulah hakikatnya. Menang adalah segalanya. 

Setakat nak bergambar isi minyak itu senang, tetapi nak praktikkan apa yang dikatakan itu susah. Ingat pepatah Melayu, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Justeru, jangan pula sampai mengata BN, tapi PH yang lebih.-UTUSAN ONLINE