Bagi saya ini hanya permulaan kepada perjuangan untuk memberi kesedaran kepada rakyat dan mematangkan mereka dalam membuat keputusan yang penting serta besar.

Kerana kesilapan membuat keputusan pada pilihan raya umum yang lalu kita dapat lihat bagaimana pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjadikan negara ini huru-hara. Gelagat mereka ibarat Si kudung mendapat cincin, Monyet mendapat bunga, Cacing naik ke mata dan Kaduk naik junjung menyebabkan rakyat resah.

Tidak pernah seingat saya rakyat negara ini seresah ini sejak memasuki era moden.

Segala-galanya tidak menentu dengan dasar kerajaan sering berubah. Keputusan dibuat kerana dendam, bukan kerana kepentingan rakyat.

Itu belum lagi janji-janji yang tidak ditunai, sebaliknya kepemimpinan PH berubah 360 darjah menjadikan rakyat sebagai musuh.

Ekonomi negara terjejas, ratusan ribu mahasiswa menganggur dan golongan bawahan makin tertekan.

Akhirnya rakyat tidak lagi dapat menahan rasa marah dan ia ditunjukkan melalui undi.

Jika pilihan raya kecil sebelum ini PH menang kerana kerusi kawasan bandar. Bagaimanapun mereka baru diuji di kawasan luar bandar dan ternyata mereka gagal.

Harga sawit merudum, dibebani pula dengan bantuan sara hidup yang tidak diperolehi atau lambat sampai, bantuan sedia ada dikurangkan jumlahnya, ketika harga barangan melonjak naik. Memang di hati penduduk luar bandar tidak ada tempat bagi kerajaan yang gagal menjaga kebajikan mereka. Malah mereka dipersalahkan, kerana seolah-olah sengaja memilih untuk hidup susah dan terlalu bergantung kepada kerajaan.

Satu hal lagi semasa kempen pemimpin PH berdegar-degar, bahkan setelah kalah sekalipun mereka masih menuduh BN memainkan sentimen perkauman, sedangkan merekalah yang mengamal diskriminasi kaum yang tebal.

Lihat saja dipentas-pentas kempen. Pengacara majlis terdiri daripada orang Cina dan India. Lihat juga petugas di sekeliling calon juga dari kelompok yang sama. Lihatlah poster ditulis dalam pelbagai bahasa. Apakah ini tidak perkauman?

Apakah rakyat Malaysia tidak faham bahasa Malaysia?

Bila cakap tidak serupa bikin, inilah jadinya.

Calon PH sendiri walaupun beberapa kali bertanding di Cameron Highlands tetapi agak aneh kerana beliau masih tidak fasih dengan politik setempat. Mungkin sebab itulah beliau kalah sebelum ini. Mungkin jika PH lebih berani meletakkan muka baharu, jadi pengundi dapat memaafkannya jika masih tercari-cari sentuhan.

BN pula menang sudah tentulah kerana kerjasama dengan Pas dan masyarakat Orang Asli yang teguh dengan prinsip serta mengenang jasa.

Selain menghormati dan menghargai kerjasama itu, janganlah pula lupa siapa yang merintis jalan ke arah itu. Iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sudah takdir kerjasama itu benar-benar terangkul hanya apabila BN hilang kuasa, walaupun usaha telah lama dibuat.

Seperti tulisan saya sebelum ini Cameron Highlands adalah kebangkitan BN. Setiap yang berlaku ada kebaikannya. Namun saya tahu masih ramai pemimpin BN khususnya UMNO belum sepenuh hati mendukung kebangkitan ini kerana masih dibelenggu pelbagai kekecewaan.

Peluang masih ada, Semenyih akan menjadi medan untuk merapatkan kembali saf UMNO dan mengeratkan lagi kerjasama dengan Pas.

Tahniah BN, tahniah Pas. PH sila bercermin diri. - UTUSAN ONLINE