Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ini kerana dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan pengurusan Tabung Haji yang baharu bahawa pimpinan agensi itu sebelum ini telah mengagihkan hibah yang haram secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti Ketua Audit Negara.

“Dakwaan ini juga secara tidak langsung menuduh Ketua Audit Negara sebagai bersekongkol, tidak kompeten dan tidak bebas, tuduhan ini adalah serius dan menjejaskan kredibiliti Ketua Audit Negara.

“Justeru, Pemuda UMNO negeri mendesak agar Ketua Audit Negara untuk tampil kedepan memberikan penjelasan ‘without fear and favour’ akan pendapat dan dapatan audit mereka terhadap laporan kewangan Tabung Haji pada tahun-tahun yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendesak supaya Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat segala dakwaan dan salah laku yang berlaku di dalam pengurusan Tabung Haji (TH) yang lalu.

Malah Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, laporan kewangan Tabung Haji setiap tahun diaudit dan diabsahkan penyediaan laporan kewangannya oleh Jabatan Audit Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

Justeru jika benar wujud penyelewengan dan manipulasi akaun, maka Jabatan Audit Negara perlu disiasat dan apa jua laporan yang disahkan perlu ditarik balik daripada Parlimen. - UTUSAN ONLINE