SYED MOHAMMAD FAIZ AZEMMANT
SYED MOHAMMAD FAIZ AZEMMANT 

Presiden SNNP, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, nasihat itu berhubung dakwaan Syed Saddiq bahawa lehernya dicekak Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Kajang, Selangor semalam.

"Timbul persoalan benarkah Menteri Belia dan Sukan itu tidak melakukan provokasi sedangkan beliau tidak mengikut ketetapan kawasan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Provokasi pihak lain tidak akan berlaku jika Syed Saddiq tidak masuk ke kawasan Barisan Nasional (BN) semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tular sebuah klip video memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Menteri belia dan sukan itu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way selepas didakwa dikasari dan diugut Papagomo. - UTUSAN ONLINE