Presidennya, Md Salleheen Mohamad berkata, MBNJ percaya Syed Saddiq tidak benar-benar membuat kajian mendalam seperti yang sering diulang beliau untuk transformasi belia.

Menurutnya, apa yang dilakukan kementeriannya adalah menubuhkan Youth Power Club (YPC) di 222 kawasan parlimen yang diketuai oleh Armada Bersatu di peringkat bahagian.

“Maka, jelas Menteri Belia dan Sukan bukan mahu memperkasakan pembangunan belia di negara ini tetapi sentiasa bermain politik dengan belia demi kuasa dan jawatannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Menteri juga pernah berjanji untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas menangani Kadar Pengangguran Belia dan akan memastikan kadar pengangguran belia menurun daripada 11 kepada 10 peratus.

Namun, akhirnya, kata Md Salleheen, Menteri melaksanakan had umur belia sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran belia.

Pada masa sama, tambahnya, MBNJ ingin memaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa selepas 400 hari, semua belia induk di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah tidak lagi mendapat peruntukan pentadbiran seperti kelaziman semasa kerajaan terdahulu.

“Jadi, Tan Sri Muhyiddin mungkin boleh bayangkan jika Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai sebarang peruntukan atau dana untuk kos operasi seperti bayaran gaji kakitangan dan bil utiliti, bagaimana kementerian hendak bergerak.

“Justeru, tidak perlu mana-mana pihak terutama pemimpin kerajaan pusat menggunakan media untuk ‘bermain politik’ dengan belia di Johor,” katanya.

Md Salleheen menegaskan, belia Johor sememangnya tidak pernah mengharap apa-apa bantuan atau peruntukan daripada kerajaan pusat terutama Kementerian Belia dan Sukan yang telah menzalimi dan menganiaya persatuan belia selama ini. - UTUSAN ONLINE