Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu dikesan setelah pihaknya membuat semakan alamat syarikat berkenaan yang dikatakan terletak di Taiping.

"Berdasarkan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), alamat syarikat berkenaan ialah di Jalan Kota, di Taiping.

"Apabila kita semak alamat yang diberikan, rupa-rupanya ia pejabat guaman, bukan pejabat operasi syarikat itu.

"Ya mungkin syarikat itu menggunakan khidmat guaman di syarikat tersebut tapi mana boleh mendaftarkan alamat perniagaan di pejabat guaman, ini akan menimbulkan 'conflict of interest'.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Ahli Palimen Kampar, Thomas Su Keong Sing meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  menyiasat sebuah syarikat yang didakwa menerima permit untuk melakukan pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di daerah Kinta.

Saarani juga menuntut kerajaan negeri memberikan penjelasan bagaimana syarikat berkenaan mendapat permit tanah hutan seluas 400 hektar cuma bermodalkan RM2.

"Bayangkan syarikat dengan modal berbayar RM2, ini bukan nak cuci sampah, ini nak bangunkan kawasan pembalakan seluas 1,000 ekar, tak kan modal RM2. Kalau tanya sesiapapun, perkara ini ada yang tidak kena," katanya.

Beliau juga mengesahkan semakan mendapati dua ahli lembaga pengarah syarikat tersebut berpangkat Datuk.

"Kita cuma tahu nama mereka sahaja tapi tidak kenal siapa orangnya. Sama ada dia ada pengalaman dalam bidang pembalakan, itu tak penting tetapi  persoalannya bagaimana kerajaan negeri boleh luluskan tanah kepada sebuah syarkat yang baharu ditubuhkan dan cuma  bermodalkan RM2," katanya. - UTUSAN ONLINE