Perkenan baginda itu dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani setelah baginda meneliti serta melaksanakan saringan terhadap kesemua senarai nama yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, setelah meneliti dan melakukan saringan terperinci, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk melantik Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri daripada senarai nama tersebut sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Oleh yang demikian, istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan akan diadakan pada hari Isnin (esok) pada pukul 2 petang di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Munir, senarai lengkap ahli-ahli MMKN akan diedarkan selepas majlis istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan dijalankan esok.

Difahamkan, Mohamed Azmin telah menyerahkan senarai nama individu yang akan dilantik dalam barisan MMKN semasa mengadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.

Jumaat lalu, Mohamed Azmin memberi jaminan 10 ahli MMKN yang akan dilantik adalah terdiri daripada mereka yang berkelayakan selain mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor. - UTUSAN ONLINE