Menteri Besar, Datuk Osman Sapian turut mengulangi komitmen kerajaan negeri PH untuk melaksanakan tawaran yang diberikan, bagaimanapun beliau minta untuk diberi sedikit masa.

“Apa yang PH tawarkan kita akan laksanakan, kita baru dua bulan menjadi kerajaan negeri.

“Jadi, beri kita sikit nafas. Saya sendiri sentiasa fikir cara lebih efektif untuk tunaikan janji yang ditawarkan,” katanya semasa melancarkan menara wad baharu Hospital Pakar KPJ Johor, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim merangkap Pengerusi KPJ Healthcare serta Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd., Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Osman berkata, antara yang sudah dilaksanakan ialah komitmen untuk memegang jawatan Menteri Besar maksimum dua penggal, 10 meter padu air percuma, memghapuskan kuota menegak kerajaan dan insentif kepada yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi. - UTUSAN ONLINE