Menurut Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu, ada pihak yang menyebarkan dakwaan palsu itu melalui mesej infografik dalam media sosial sejak semalam bagi memburuk-burukkannya.

“Saya kecewa dengan anasir-anasir yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah dan maklumat palsu yang boleh memesongkan minda pengundi.

“Saya meminta orang ramai jangan terpedaya dengan berita palsu, lebih-lebih lagi menjelang musim PRK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mesej tersebut yang tular dalam media sosial mendakwa Streram merayu sumbangan kerana beliau sudah menghabiskan wang untuk kes petisyen DUN Rantau di mahkamah dan kini tidak mempunyai wang bagi menghadapi PRK berkenaan.

Beliau kononnya meminta mereka yang ingin membantu supaya memasukkan wang ke dalam akaun banknya dan menjanjikan projek kepada mereka sekiranya menang nanti.

Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Streram sebagai calon PH bagi PRK DUN Rantau. - UTUSAN ONLINE