Dr. S. Streram
Dr. S. Streram 

Demikian hujah Ketua PKR Cabang Rembau, R. Tanggam bagi menggambarkan betapa beliau dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, walaupun berbeza parti politik tetapi adalah anak tempatan.

Komennya itu dipercayai ada kaitan dengan isu melibatkan timbalannya, Dr. S. Streram, anak kelahiran Johor yang dikatakan antara calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April depan. Kebetulan Tanggam adalah antara lebih 10 individu yang berminat untuk bertanding di kerusi itu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Streram dihalang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Beliau gagal dalam pilihan raya tetapi menang di mahkamah sembilan bulan kemudian sehingga memaksa PRK diadakan.

Isu 'orang luar' menjadi faktor utama menyebabkan pakar bius itu dikatakan tidak diterima segelintir ahli PKR Rantau. Baru-baru ini seramai 11 ketua dan setiausaha kampung di Rantau secara terbuka menolaknya, begitu juga Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau. Mereka mahu calon tempatan.

Seorang ahli PKR memberitahu penulis, Penyelaras DUN Rantau itu baru tiga tahun turun padang dan tidak dikenali pengundi. Beliau dipilih oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli semata-mata untuk menarik sokongan kaum India dalam PRU-14 di kawasan itu.

Kekalahan PH dalam PRK DUN Semenyih baru-baru ini yang dikaitkan dengan perubahan sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional mungkin menjejaskan lagi peluangnya. Ramai ahli PKR mahu calon Melayu mencabar Mohamad di Rantau.

Bekas calon PKR di kerusi DUN Rantau dalam PRU-12 dan PRU-13, Aishah Lamsah contohnya meminta PH meletakkan calon Melayu untuk mengimbangi pengaruh ADUN Rantau selama tiga penggal itu.

Beliau berpendapat, Rantau terletak di Rembau merupakan kawasan yang kuat dengan adat Perpatih dan wajar meletakkan pemimpin yang memahami dan dekat dengan adat tersebut.

"Sebab itu Tok Mat diterima di Rantau, beliau kerap menggunakan perumpaman dan pepatah Melayu setiap kali berbicara. Orang Melayu suka dengan semua itu, selain saya akui beliau seorang yang baik.

"Ini bukannya kenyataan perkauman, cuma kalau letak calon bukan Melayu,

maka pengundi Melayu yang menyokong PH akan berada dalam dilema siapa perlu dipilih. Mungkin akhirnya nanti mereka akan mengundi Tok Mat," katanya baru-baru ini.

Seorang lagi ahli PKR Rembau meramalkan sukar merampas kerusi DUN Rantau kalau meletakkan Streram. Baginya beliau cetek pengalaman politik dan pentadbiran, tidak dikenali pengundi malah kurang fasih berbahasa Melayu.

Mesyuarat tentang calon PH bagi DUN Rantau dijangka diadakan Sabtu ini. Kalau sembilan bulan lalu Streram gagal bertanding kerana dihalang masuk oleh pegawai pengurus pilihan raya, kali ini beliau berdepan halangan rakan-rakan dari partinya sendiri. - UTUSAN ONLINE